• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

'Ayah Lie' Mengaku Khalwat Dengan Pelajar Sendiri

Wan Abd. Malik menjawab persoalan daripada wartawan.

KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Seorang guru al-Quran persendirian dijatuhkan hukuman denda RM2,600 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu kelmarin kerana berkhalwat dengan pelajarnya, di dalam kereta di Taman Pulau Warisan, di sini.

Pengajar persendirian yang terkenal dengan panggilan ‘Ayah Lie’ di kalangan pelajarnya itu turut dikenakan hukuman penjara selama tiga minggu sekiranya gagal membayar denda dalam tempoh yang ditetapkan.

Ketua Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, Wan Abd. Malik Wan Sidek berkata, tertuduh yang bekerja sendiri sebagai guru al-Quran mengaku bersalah atas tuduhan khalwat.

Jelasnya lagi, kesalahan yang dilakukan oleh ‘Ayah Lie’ merupakan kesalahan yang tidak boleh tangkap berada di bawah Mahkamah Rendah Syariah yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM 3,000 atau penjara maksimum 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Mengikut fakta kes, dia mengajar mengaji dan aktif mengajar di kampungnya.

“Kesalahan yang dilakukan ini merupakan kesalahan tidak boleh tangkap dengan hukumannya ialah denda maksimum RM 3,000 atau penjara maksimum 2 tahun atau kedua-duanya sekali,"katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemuramah oleh wartawan di pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, hari ini.

Kes jenayah syariah lesbian dan khalwat adalah dua kes yang berbeza.

Tambah beliau, kes ‘Ayah Lie’ itu berbeza dengan kes jenayah syariah lain yang dijatuhkan hukuman sebatan seperti kes pasangan lesbian tempoh hari berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah yang membawa hukuman berbeza.


Sebatan yang melibatkan pasangan lesbian itu berada di bawah Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

Berbeza dengan kes ‘Ayah Lie’ yang disabitkan dengan kes khalwat yang berada di bawah seksyen 31(a), kesalahan di bawah seksyen ini boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Berbeza dengan kes lain sebelum ini yang melibatkan sebatan.

"Yang melibatkan sebatan itu ialah kesalahan yang melibatkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau enam kali sebatan, itu hanya melibatkan tujuh kes sahaja yang ada dalam undang-undang kita, kes khalwat tak termasuk,” katanya.

Tag: