Bukan Masa Tepat Untuk Naikkan Harga Diesel

KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Keputusan Kerajaan Persekutuan melaksanakan Program Penyasaran Subsidi Diesel disifatkan bukan pada masa yang tepat. 

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata langkah itu kurang sesuai dilaksanakan dalam keadaan rakyat berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Peningkatan satu hal tetapi dari segi jumlah itu memberikan kesan berangkai terhadap rakyat lebih besar dan ini  yang perlu kita tengok...jadi kena lebih cermat tentang perkara tersebut.

"Sebelum  pengumuman itu cara untuk menangani kepada rakyat harus difikir lebih mendalam termasuk jumlah peningkatan yang begitu mendadak sekarang ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program 'Conference Of Head Of Academic Departments 2024' (CHAD 2024) di Hotel Primula, di sini hari ini.

Tambah beliau, dicadangkan agar ia dibuat secara berperingkat jika kerajaan tetap ingin melaksanakannya.

"Saya tak pasti sama ada peringkat pentadbiran persekutuan telah mengkaji sedalamnya pelaksanaan yang terbaik," ujarnya lagi.

Menurut Ahmad Samsuri, beliau juga sedar bahawa mungkin pada satu masa subsidi diesel perlu dirungkaikan daripada kerajaan lama.

"Ini kerana kebocoran tanpa kita tanpa sedari membiayai syarikat-syarikat yang tidak kena mengena dengan kita, orang-orang luar daripada negara kita dan sebagainya," jelasnya.


Tag: