Kerajaan negeri mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri menyediakan insentif khas kepada pengawal keselamatan di seluruh negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, golongan ini perlu diberi perhatian memandangkan mereka mempunyai beban tugas dan risiko bekerja tidak kira masa.
“Sekiranya terus diberi mandat untuk kekal mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Umum PRU-14 (PRU14) nanti, InsyaAllah saya akan usulkan cadangan ini kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga merangkap Menteri Dalam Negeri untuk mempertimbangkan cadangan ini.
“Malah, saya juga akan mencadangkan kepada kerajaan negeri dalam bajet tahun hadapan dimasukkan satu insentif khas kepada pengawal keselamatan ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taklimat Dan Dialog Program Certified Security Guards (CSG) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ A.Rahman Yahya dan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Nadzri Siron.
Katanya, pemberian insentif ini sedikit sebanyak dapat membantu menangani kos sara hidup mereka (pengawal keselamatan) yang boleh dikategorikan sebagai golongan pertengahan.
Katanya, pemberian insentif ini sedikit sebanyak dapat membantu menangani kos sara hidup mereka (pengawal keselamatan) yang boleh dikategorikan sebagai golongan pertengahan.
“Secara tidak langsung, kerajaan dapat membantu mereka ini memandangkan kadang-kadang golongan pertengahan yang tertinggal dengan bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan sedangkan tugas mereka melibatkan nyawa dan keselamatan.
“Apa-apa keputusan pun kita mesti buat kajian dahulu agar apa yang dilaksanakan kerajaan termasuk pemberian insentif memberi manfaat kepada rakyat dan berada di bawah kemampuan kerajaan,” ujarnya.