KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Semua pengawai media Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) perlu bekerjasama dengan lebih erat dan menghindari sikap saling menuding jari.
Pengarah UPDI, Ustaz Harun Isa berkata, dasar integriti menjadi teras utama, dalam segala tugasan yang diberikan berlandaskan penerangan yang betul.
"Dasar integriti menjadi teras utama, sama ada mereka di pejabat HQ atau di lapangan, kembali kepada asas untuk memperkemaskan akidah dan perjuangan kita di atas muka bumi Allah SWT.
"Kita rasa bahawa pengawasan dan pemerhatian Allah SWT sentiasa berada di atas kita.Kesilapan, kelalaian, dan kealpaan yang kita lakukan semuanya dalam ilmu serta pengetahuan Allah SWT," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Kursus Pengurusan Efektif Siri 2 Dasar Integriti Darul Iman (DIDI), di Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Ustaz Harun juga menyentuh tentang keterbatasan dari segi tenaga kerja dan aset, namun menekankan kesungguhan mereka yang bekerja keras untuk membina generasi di kawasan pedalaman, terutamanya di Sabah.
"Kualiti masyarakat di Sabah, walaupun dalam kekurangan, mereka bekerja dengan begitu kuat menjadi motivasi kepada kita yang berada di zon selesa," ujarnya
Dalam masa sama, beliau menekankan pentingnya menggunakan tenaga secara maksima, mengoptimumkan masa, dan berfikir secara kreatif dan kritis untuk memastikan produk berkualiti.
"Walaupun orang sekeliling tidak memulakan apa yang perlu di buat, tetapi kita lah yang memulakan kebaikan tersebut.
"Kita perlu memastikan orang sekeliling meniru langkah baik dalam hal penerangan," katanya lagi.
Ustaz Harun juga mengingatkan tentang tanggungjawab yang lebih besar, terutama dalam memastikan pemberitaan sampai dan membina generasi yang bakal menggantikan kita.
Justeru itu, beliau menekankan pentingnya memanfaatkan aset yang ada dan tidak hanya menumpukan pada perkara baru, tetapi memperbaiki sedia ada untuk lebih baik.