• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

Jom Rehat dan Bersihkan Diri, Peserta RXZ Members Dijemput ke Masjid Al-Abrar

KUALA NERUS, 10 September - Masjid Al-Abrar, Bukit Tok Beng, di sini menjemput peserta RXZ Members 6.0 yang ingin berehat serta membersihkan diri selepas menempuh perjalanan jauh kerana ia dibuka sepanjang masa kepada orang ramai.

Pengerusi Masjid Al-Abrar, Profesor Madya Dr Mohd Shafiee Hamzah berkata, makanan tengah hari secara percuma kepada orang ramai turut disediakan selepas solat Zuhur secara berjemaah pada Sabtu ini.

Menurutnya, orang ramai tak perlu risau soal berehat dan tidur di masjid kerana pihaknya tidak pernah melarang atau memarahi sesiapa yang hadir untuk iktikaf, berehat serta melelapkan mata seketika di masjid berkenaan.

Selain itu katanya, usaha itu bertujuan menarik minat anak muda menghadirkan diri beramai-ramai ke rumah Allah selain mengimarahkan pelbagai aktiviti diadakan di masjid.

"Kami daripada pihak jawatankuasa masjid sangat mengalu-alukan kehadiran semua peserta RXZ Members dari seluruh negara untuk ziarah dan mengimarahkan masjid di sini.

"Pelbagai kemudahan disediakan di masjid ini kepada orang ramai, antaranya kawasan parkir luas serta tandas dan bilik mandi yang selesa.

"Selain itu, masjid ini mempunyai beranda yang luas di mana ia memberi keselesaan kepada tetamu yang hadir untuk iktikaf, berehat serta melelapkan mata selepas menempuh perjalanan jauh," katanya kepada pemberita.

Tambah Mohd Shafiee lagi, bilik mandi juga disediakan kepada pengunjung bagi membersihkan badan demi keselesaan untuk beribadah di masjid nanti.

"Inilah adab Islam dalam meraikan tetamu serta menarik anak muda mengimarahkan rumah ALLAH," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut memberi jaminan kepada orang ramai supaya tidak bimbang mengenai soal keselamatan di dalam masjid kerana aspek tersebut sentiasa menjadi keutamaan pengurusan masjid.

Menurutnya, terdapat pengawal keselamatan di masjid yang sentiasa melakukan pemantauan bagi menjaga keselamatan di masjid.


Tag: