• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Kerajaan Negeri Usaha Selesaikan Isu Tanah Felda

KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Kerajaan negeri kini sedang berusaha untuk mengembalikan hak rakyat Terengganu dalam isu tanah Felda.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata isu utama ialah tanah seluas 13,686 ha milik kerajaan negeri yang dibangunkan ladang sawit oleh Felda sejak tahun 1985 dan diserahkan kepada FGV. 

Menurutnya, sekitar 39 tahun Felda mengusahakan tanah milik negeri itu tanpa dokumen hak milik sah dan kerajaan negeri sebagai tuan tanah tidak diberikan hak yang sepatutnya.

"Felda sudah tuai hasil dan keuntungan hampir 40 tahun.

"Alhamdulillah, usaha kami untuk mengembalikan hak rakyat Terengganu dalam bentuk bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan berjumlah puluhan juta ringgit semakin menampakkan sinar cahaya di hujung terowong. 

"Bagaimana rumit pun masalah, perbincangan dalam senyuman mampu merungkai kekusutan," ujarnya dalam satu hantaran di facebook rasminya hari ini.

Menurut Dr Azman, bagi pihak kerajaan negeri selain beliau, turut diwakili Dato' Pengarah PTG, Pegawai-Pegawai UPEN, Pegawai Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Perbendaharaan Negeri, Pegawai PTG dan Pegawai Pejabat MB Terengganu.

Manakala team Felda diketuai Dato' Mohd Banuri Aris Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Ibu Pejabat Felda, disertai Pengarah Kewangan Felda, Pengarah Undang-Undang Felda dan Pengarah Wilayah Felda Terengganu. 


Tag: