Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Pemimpin Koperasi perlu ada sikap yang lebih tegas dan bersungguh-sungguh dalam membuat sesuatu perkara agar apa yang dirancang dapat menjadi realiti.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, di antaranya projek yang berkaitan ialah perbankan, pinjaman perumahan, pertanian dan pembinaan.
“Di antara cabaran mana-mana koperasi iaitu kepimpinan yang bersih dan tidak meletakkan diri sendiri dalam situasi tersebut.
"Ia kerana Koperasi adalah satu gerakan yang melibatkan modal bersama untuk menapak selangkah demi langkah ke hadapan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-6 Koperasi Al-Amin Terengganu (KOAMIN) Berhad di Dewan Maahad Tahfiz Al-Busyra Masjid Jamek, Pengadang Baru, baru-baru ini.
Menurutnya, pemimpin hendaklah memainkan peranan dan bergerak keluar dari kepompong sekiranya mahukan sesebuah Koperasi itu berjaya.
"Prasyarat kepada satu organisasi Koperasi yang baik mesti bermula dari kepimpinan dan mempunyai iltizam dalam projek," ujarnya.
Justeru itu, beliau menasihati agar jangan berputus asa dan jangan melepaskan peluang yang ada.