Pemimpin Perlu Jaga Kebajikan Rakyat
Oleh : Saifullah Jusoh
BESUT - Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah mengingatkan agar mereka yang dilantik sebagai pemimpin termasuk kepimpinan di peringkat kampung perlu menjaga kebajikan rakyat.
Katanya, sebagai ketua juga seseorang pemimpin itu perlu mempunyai sifat baik yang boleh dicontohi anggota masyarakat.
"Apabila kita dipilih sebagai pemimpin, kita tidak boleh ada tiga sifat ini. Yang pertama sifat kedekut untuk menggunakan duit atau harta kita bagi membantu rakyat yang ada di sekeliling kita,"
"Yang kedua ialah kita tidak boleh ada sifat cintakan dunia yang akan menyebabkan kita mengabaikan tanggungjawab kita yang sebenar iaitu menjaga kebajikan rakyat.
"Kemudian sifat ketiga yang tidak boleh ada pada kita ialah terlalu mengikut hawa nafsu. Sifat ini akan merosakkan kita yang dikurniakan sedikit jawatan di atas muka bumi ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat Pengurusan dan Peranan Penyelaras i-MiTS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Dewan Serbaguna Taman Seri Seratus, Kuala Besut (28 September)
Turut hadir, Penyelia i-MiTS Parlimen Besut, Shalahudin Jaafar, Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh dan Penyelia i-MiTS DUN Kuala Besut, Ustaz Zulkifli Kadir.