Ali Hamsa bergambar bersama sebahagian penjawat awam yang hadir di Majlis Amanat KSN Bersama Penjawat Awam Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kassim |
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa menasihatkan penjawat awam agar menggunakan media sosial secara bijak dan positif khususnya dalam menyebarkan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.
Katanya, kakitangan awam perlu membantu kerajaan berkongsi kejayaan dasar negara dengan rakyat menerusi medium perantara berteknologi itu yang cukup popular ketika ini.
“Di era digital ini, mudah sangat kita nampak berita yang negatif, mencari sensasi, memburukkan dan menimbulkan kemarahan orang lain dan sebagainya di media sosial.
“Justeru, saya galakkan saudara-saudari (penjawat awam) secara individu menghebohkan perkhidmatan kita contohnya pembangunan yang dicapai dan sebagainya secara bijak dan positif agar berita-berita kejayaan sampai kepada seluruh dunia secara tepat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Amanat KSN Bersama Penjawat Awam Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Walau bagaimanapun katanya, penjawat awam perlu memastikan kesahihan sesuatu berita itu sebelum disebarkan kepada pihak lain.
“Medium sosial media seperti Aplikasi WhatsApp, Facebook, Instagram adalah media yang paling popular, tetapi kalau tidak pasti tentang sesuatu maklumat itu jangan sebarkan berita palsu kerana kita terikat dengan undang-undang berkaitan dengan kelakuan dan tataterbit sebagai penjawat awam dan Akta Antiberita Tidak Benar 2018,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain katanya, tiada golongan dipinggirkan dalam agenda pembangunan negara kerana ianya dilaksanakan atas dasar keadilan dan menyeluruh bagi memastikan semua rakyat menerima faedah hasil kemakmuran negara.
“Menerusi Bajet 2018, tiada siapa yang terpinggir kerana setiap kumpulan sasar dapat manfaat kerajaan.
“Hasil yang dipungut daripada LHDN, Kastam, GST dan lain-lain sebenarnya diagihkan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan seperti BR1M, biasiswa pendidikan, subsidi kesihatan dan sebagainya kerana ini semua adalah peranan kerajaan untuk mengagihkan hasil yang diterima kepada rakyat.
“Saya rasa tiada kumpulan tertinggal kerana daripada kanak-anak baru lahir dapat kemudahan,warga emas, wanita, penjawat awam semuanya terima manfaat daripada pengagihan hasil bersandarkan dasar inklusif yang dilaksanakan kerajaan,” ujarnya.