Penyelam Skuba Kutip Sampah Dalam Dasar Laut Pulau Perhentian

BESUT, 23 Jun – Sebanyak 215.85 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip dari dasar laut dan tepi pantai oleh sukarelawan, termasuk penyelam skuba, melalui 'Program Sukarelawan Antarabangsa Fasa Kedua Dive Against Debris (DAD)' di kawasan Pulau Perhentian Kecil, Long Beach di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata program yang berlangsung tiga hari, bermula dari 21 hingga 23 Jun itu melibatkan 149 sukarelawan dari dalam dan luar negara.

"Seramai 32 penyelam skuba yang mengutip sampah di kawasan terumbu karang dasar laut dan 117 sukarelawan di tepi pantai.

“Antara sampah yang banyak dikutip adalah puntung rokok, straw plastik, botol plastik, dan pelbagai lagi,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan program berkenaan semalam.

Turut hadir, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Besut, Mohamad Ridwan Mohd Nor, Pengarah Program, Ariff Ismail, dan Penasihat Program, Datuk Zuraidah Atan

Program itu, mendapat tajaan utama dari Kenanga Investors Berhad serta dikelolakan oleh Black Eye Scuba Team (BEST) dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia (SALAM) dan Pejabat Daerah Besut.

Datuk Zuraidah berkata, program tersebut dijalankan melalui tiga peringkat iaitu Dive Against Debris (DAD), Pembersihan Pantai (Beach Cleanup), dan Pendidikan Alam Sekitar (Environment Education).

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan bagi memupuk semangat menjaga alam sekitar, khususnya pemuliharaan lautan dan kebersihan pantai selaras dengan slogan ‘Menjaga Pantai dan Laut Bersih, Budaya Mulia, Amalan Kita’.

“Program ini bukan sahaja berjaya dalam usaha membersihkan alam sekitar, tetapi juga memberikan pendidikan alam sekitar yang penting kepada semua peserta.

“Aktiviti ‘Dive Against Debris’ atau terjunan untuk menaikkan sampah sarap dari laut ini memang menjadi aktiviti di beberapa negara yang mempunyai kesedaran tinggi mengenai penjagaan laut,” tambahnya.

Sementara itu, peserta program, Salmizi Saibu, 40, berkata program tersebut melibatkan tiga langkah iaitu yang pertama dive against debris, di mana penyelam-penyelam yang pakar akan mengutip sampah-sampah di dalam laut.

“Langkah kedua adalah beach cleanup bersama dengan sukarelawan dari Malaysia dan juga dari luar negara termasuk Jordan, Iraq, Pakistan, China, dan pelbagai lagi negara.

“Seterusnya, adalah pendidikan alam sekitar untuk pelajar-pelajar sekolah bersama dengan komuniti kampung,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Platun RELA Cawangan Pulau Redang, memberi pesanan agar pelancong-pelancong yang datang ke Pulau Perhentian menjaga kebersihan pantai dan kelestarian alam sekitar.

 


Tag: