Calon Barisan Nasional (BN) Permaisuri, Dato’ Abd Halim Jusoh menganggap pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) nanti bukan satu laluan mudah untuk BN mengekalkan penguasaan di DUN dan Parlimen Setiu.
Katanya, menyedari hakikat itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri itu tetap akan berkempen seperti biasa selain memastikan keamanan di situ terpelihara.
"Jika dulu saya pernah bertanding dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-12, ketika itu dua penjuru sahaja, tapi kali ini (PRU14) persaingan dengan PKR dan juga Pas.
"Saya calon yang pernah berkhidmat di DUN ini dan yakin BN akan kekal (menang) lagipun bila berjumpa mereka (masyarakat), mereka masih ingat apa yang saya lakukan kepada mereka ketika itu," katanya.
Abd Halim juga berkata, beliau juga sama sekali tidak akan mengganggu calon lain yang bertanding dalam tempoh berkempen ini sebagai menghormati perjuangan dan strategi masing-masing.
"Bila berkempen saya lebih suka menceritakan kebaikan atau kejayaan-kejayaan yang dibuat untuk rakyat sekali gus mahu rakyat bijak menilai dari fakta yang diberikan ini.
"Tidak pernah sesekali saya menceritakan keburukan pihak lawan, itu cara saya," katanya.