Sabri bersama dua calon dari parti lawan Azmi (kiri) dan Mustaffa (kanan) |
Tiga sekawan yang juga anak peneroka dari Felda Chalok, Kampung Rahmat, Setiu bakal bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Ketiga- tiga calon itu adalah Dato' Sabri Mohd Nor, 55, dari Barisan Nasional (BN), Azmi Maarof, 57 (Pas) dan Mustaffa Abdullah, 65 dari Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Apa yang menariknya, masing-masing pernah menuntut ilmu di sekolah yang sama iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rahmat, Setiu.
Calon BN yang juga penyandang DUN Langkap Sabri berkata, dia dan dua calon dari parti lawan adalah rakan sekampung dan juga kawan sekolah yang mana Azmi adalah senior.
Katanya, tiada masalah bagi mereka bertiga walaupun berbeza fahaman tetapi tetap berkawan serta bersaing secara sihat pada 9 Mei ini.
"Masing-masing ada dasar dan misi yang mahu disampaikan kepada rakyat.
"Bagi saya yang mewakili BN pastinya mahu mempertahankan hak negara khususnya Terengganu," katanya.
Beliau berkata dia akan meneruskan matlamat menjaga kebajikan rakyat, membawa perubahan termasuk menawarkan pelbagai kemudahan dan pembangunan, menambah bilangan rumah untuk rakya seperti mana yang dilaksanakan sebelum ini,"katanya.
Sementara itu, Azmi dari calon Pas berkata, dia mengetahui perkara itu dari awal lagi bahawa mereka bertiga bakal bertanding merebut kerusi DUN Langkap.
"Kami sama sekali tidak akan bermasam muka kerana sedar kami bertiga adalah kawan sekolah, selain mempunyai pertalian keluarga yang jauh (bau- bau bacang)," katanya.
Manakala, calon PKR Mustaffa berkata hubungan mereka tetap baik, malah turut meminta penyokong Pas memasang bendera PKR.
"Perbezaan antara kami hanya berdasarkan warna, fahaman, dasar dan misi yang mahu disampaikan kepada rakyat.
"Tidak sesekali menaruh dendam dan menanam sifat benci antara satu sama lain,"katanya.