Zamri |
Calon Barisan Nasional (BN) DUN Batu Burok, Zamri Awang Hitam bersedia menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebaik mungkin sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Katanya, beliau yakin pengalaman yang dimiliki sebagai Pegawai Pembangunan DUN Batu Burok mampu memastikan agenda pembangunan rakyat di kawasan itu dapat direalisasikan.
“Bersyukur kehadrat Ilahi kerana dipilih sebagai calon DUN Batu Burok. Saya akan terus bekerja, empat tahun ini saya telah bertugas sebagai Pegawai Penyelaras DUN Batu Burok dan akan lipat gandakan kerja dan usaha untuk menawan kembali DUN Batu Burok yang 28 tahun diwakili oleh wakil rakyat dari pembangkang.
“InsyaAllah, jika diberi mandat kepada BN dan saya calonnya, saya akan meneruskan kerja-kerja sepertimana diarahkan pucuk pimpinan dan terus memberi khidmat kepada rakyat.
“Tempoh 28 tahun ini bukan suatu masa yang singkat kerana banyak pembangunan-pembangunan yang sepatutnya ada di DUN Batu Burok kita ketinggalan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal Bersama Serikandi DUN Batu Burok yang telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Serikandi To’ Puan Seri Halina Zakaria di Terengganu Equestrian Resort (TER), hari ini.
Turut hadir, Calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail yang juga Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Zamri berkata, tidak dinafikan kecaknaan kerajaan dengan menyalurkan bantuan khususnya demi kebajikan rakyat tetapi apa yang mahu ditumpukan sekiranya diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat di DUN Batu Burok adalah membawa lebih banyak pembangunan di kawasan itu.
“Apa yang akan kita fokuskan adalah dengan memberi keutamaan kepada pembangunan untuk golongan anak-anak generasi kedua.
“Sepatutnya tanah kerajaan yang ada di Batu Burok ini kita buat pembangunan seperti Rumah Mampu Milik, pusat tarbiyah dan sebagainya. Dan dalam tempoh dua tahun ini juga banyak rungutan dari nelayan terhadap permasalahan muka kuala Kuala Ibai.
“Inilah antara yang akan kita perjuangkan apabila BN memenangi DUN Batu Burok kerana apa yang kita rancangkan akan sedikit sukar sekiranya pembangkang terus menguasai DUN ini,” ujarnya.