• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Royalti : ADUN Suarakan Kemarahan Rakyat

MARANG, 25 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, dengan lantang mewakili rakyat menyuarakan mengenai ketidakadilan kerajaan persekutuan yang telah menafikan hak royalti petroleum negeri Terengganu.

Dalam ceramah perdana yang diadakan di Pengkalan Berangan malam tadi, beliau menekankan bahawa rakyat Terengganu semakin terhimpit akibat penafian hak ini yang sepatutnya menerima pelbagai manfaat hasil royalti itu.

Katanya kerajaan negeri telah berusaha keras untuk memastikan kesejahteraan rakyat dengan pelbagai perancangan dan strategi namun tanpa royalti yang sepatutnya diterima segala usaha akan mengalami kesukaran

"Kerajaan negeri telah berusaha sehabis baik untuk memastikan kesejahteraan rakyat. Namun, tanpa royalti yang sepatutnya, usaha kita akan terbatas," kata beliau dengan nada tegas.

Beliau menjelaskan bahawa royalti petroleum adalah hak mutlak rakyat Terengganu yang termaktub dalam perjanjian dan seharusnya dihormati oleh semua pihak.

"Kami berharap kerajaan pusat dapat melihat kepentingan ini dan menunaikan janji mereka kepada rakyat Terengganu," tambahnya.

Mengenai sikap kerajaan pusat yang sering berdolak-dalik dalam isu ini, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat.

"Ketidakadilan ini harus dihentikan dan rakyat Terengganu berhak mendapat apa yang telah dijanjikan. Kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan hak kita dirampas begitu sahaja," tegasnya.

Dalam pada itu beliau menyeru seluruh rakyat Terengganu agar bersatu hati dan berusaha secara kolektif bagi menuntut hak mereka.

"Walau apa jua rintangan, kita perlu hadapi dengan tabah dan bersatu hati. Ini adalah perjuangan kita untuk keadilan dan kesejahteraan negeri," katanya.

Beliau turut yakin  dengan usaha gigih dan sokongan padu rakyat, hak royalti akan dapat dikembalikan semula kepada Terengganu apabila tiba masanya.

 


Tag: