• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

Sokong Hari Hijab Sedunia - Cikgu Alias


Oleh :Nooreni Abu Bakar 

DUNGUN - Hari Hijab Sedunia yang mula disambut sejak 2013 setiap 1 Februari di seluruh dunia turut mendapat maklum balas positif daripada orang ramai serta pemimpin negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Cikgu Alias Harun turut memuji inisiatif mengadakan hari istimewa dan membawa mesej yang jelas demi memartabatkan kaum hawa beragama Islam itu.

"Saya sokong dengan usaha murni penganjuran acara sebagai memurnikan lagi hari hijab di kalangan rakyat kita,"kata beliau ketika dihubungi wakil media Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang itu juga menyokong acara yang bakal diadakan di tiga tempat berasingan iaitu di Pantai Batu Buruk, Arena Square, Dungun dan Pantai Kemasik, Kerteh.

"Jadi tiga kawasan ini untuk langkah pertama memang baguslah dimulakan dan berharap di masa akan datang diteruskan di kawasan-kawasan lain.

"Ia bertepatan dan mampu mencapai objektif untuk menarik ramai di kalangan rakyat tempatan kerana memilih kawasan  yang menjadi tumpuan orang ramai,"katanya.

Menurut beliau, ibu bapa terutama yang bergelar ketua keluarga mesti berperanan untuk menegur anak dan isteri supaya menjaga aurat dengan sempurna.

Alias seterusnya mengajak masyarakat mengambil cakna kewajipan umatnya menutup aurat seperti yang disebut di dalam al-Quran kerana kehidupan di dunia akan dinilai oleh Allah SWT di akhirat kelak.

"Saya juga mengingati diri saya yang juga seorang ayah dan suami yang mempunyai isteri dan anak-anak semoga kita tidak akan menyesal tak sudah di akhirat nanti.

"Jadi kita tidak tertipu dengan menggayakan fesyen-fesyen yang menjadi asbab kita dihumban ke neraka jahanam," katanya lagi.

Tambahnya, dengan tema, 'Sempurnakan AuratMu', ianya adalah sesuatu yang sepatutnya diperkasakan sesuai dengan prinsip yang sedang ditekankan Kerajaan Terengganu yang mementingkan patuh syariah dalam semua aspek kehidupan.

Tag: