Terapkan Sikap Sayang Alam Sekitar Kepada Generasi Muda

DUNGUN, 12 Mei- Golongan muda perlu diterapkan dengan kepentingan menjaga khazanah alam sekitar agar warisan negara itu terus dinikmati oleh generasi akan datang.

Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Zamra Derahman memuji program yang dianjurkan Kelab Pelajar Kejuruteraan Awam PSMZA dalam menjaga khazanah alam sekitar. 

Katanya, program bertemakan 'Selamatkan Warisan Bakau Kita Melalui Pemulihan' itu merupakan inisiatif jabatan akademik PSMZA dalam melahirkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri modal insan berminda kelas pertama. 

"Sekaligus melahirkan graduan yang mempunyai daya pemikiran kritis, berkarakter global, sifat kepemimpinan tinggi, boleh bekerja dalam satu pasukan serta nilai tambah dalam aspek kemahiran insaniah," ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat PSMZA. 

Menurut jurucakap itu lagi, program CSR tersebut telah diadakan pada 8 Mei lepas di Ecocare Environmental Education Centre, Kertih dan melibatkan 30 peserta dalam kalangan pelajar serta sepuluh pensyarah. 

"Menerusi program itu peserta telah diberikan pendedahan tentang kepentingan aktiviti penanaman pokok bakau. 

"Program sebegini mampu memupuk pelajar untuk lebih menghargai alam sekitar dan kepentingan menjaga ekosistem alam sekitar dengan lebih mendalam seperti yang terkandung dalam silibus kursus DCC50262 Environmental Pollution and Control," tambahnya lagi. 
 


Tag: