Siasat Penerima Bantuan Di DUN Bukit Payung Ikut Kelayakan
Ustaz Mohd Nor Hamzah |
Oleh : Syaharulhafizi Shamsudin
MARANG 28 Oktober- Satu siasatan terperinci akan dilakukan ke atas semua penerima bantuan mengikut kategori sama ada miskin, layak atau sebaliknya termasuk golongan yang layak menerima bantuan tetapi tercicir di Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Payung.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, pihak beliau akan melakukan siasatan balik dan pemeriksaan secara teliti untuk melihat jika masih ada golongan layak mendapat bantuan tercicir dari senarai.
“Tujuannya adalah untuk memastikan kebajikan penduduk DUN Bukit Payung mendapat hak yang sepatutnya mereka dapat.
“Kita laksanakan apa yang perlu demi kebaikan penduduk setempat dalam mendapat hak masing-masing mengikut kelayakan sebenar mereka,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taklimat dan Pendaftaran i-Suri DUN Bukit Payung, di Dewan Sivik Pekan Bukit Payung yang disampaikan oleh Ketua Cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kuala Terengganu, Mohd Sabri Hussin yang dihadiri hampir 600 wanita yang tersenarai dalam e-Kasih hadir dalam dua sesi pada pagi dan petang.
Senarai e-Kasih merupakan Data Kemiskinan Nasional yang mengandungi maklumat mengenai kemiskinan Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) daripada agensi pemberi bantuan sehinggalah kepada permohonan bantuan dan pemantauan keberkesanan bantuan yang diterima.
Sementara itu, Ustaz Mohd Nor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, turut berpesan kepada semua yang hadir supaya mencari dan merebut peluang untuk hadir ke majlis ilmu kerana kuliah di surau dan masjid percuma.
“Seringkali kita hanya terfikir soal duniawi, kita takut akan miskin di dunia tapi kita lupa hidup kita yang kekal adalah di akhirat. Oleh sebab itu biarlah kita miskin di dunia tapi janganlah kita miskin di akhirat dan ramai yang takut miskin harta di dunia ini tetapi apa paling menggerunkan adalah miskin pahala dan ilmu kerana pahala akan kita bawa ketika di akhirat kelak.
“Jangan jadi orang muflis iaitu orang yang banyak melakukan pahala, namun dalam masa yang sama banyak melakukan dosa sehingga pahala telah terkikis,” ujarnya.