Status RTB Rantau Abang, Peserta Diminta Bersabar
Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani |
DUNGUN, 30 Januari- Peserta-peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang diminta supaya bersabar kerana pihak kerajaan negeri berusaha keras menyelesaikan tentang isu pemilikannya.
Timbalan Pengarah Majlis Tindakan DUN, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani, berkata proses penyelesaian yang melibatkan lebih 700 peserta-peserta RTB ini akan mengambil masa lebih-lebih lagi ianya melibatkan pelbagai peringkat.
"Ada yang dalam proses mengenal pasti tuan-tuan tanah yang lama, ada yang kita masih 'check' nama-nama yang lama tentang status mereka.
"Kalau yang mati, kita tukar kepada anak dia. Kalau tiada surat bukti, kena cari pembukti yang mengesahkan bahawa dia pernah dapat daripada Pejabat Daerah... sebab dia ada senarai pernah mohon,” katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini
Beliau yang juga Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar berkata hal ini telah memakan masa bertahun-tahun malah melibatkan pindaan yang menyebabkan berlaku sedikit masalah untuk membuat pembetulan.
"Sebab ada yang sudah lama, buat pindaan, jadi nak perbetulkan semula, tidak mudah.
“InsyaAllah, sebahagian besar akan dapat diselesaikan di dalam setahun dua nanti,”katanya.