Pelajari Ilmu Pengurusan Jenazah




Oleh: Nooreni Abu Bakar /Foto: Penerangan Rantau Abang

DUNGUN, 11 Mac- Masyarakat diseru supaya mempelajari ilmu pengurusan jenazah walaupun mengurus jenazah itu hanya fardhu kifayah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun menegur sikap kebanyakkan anggota masyarakat mengambil ringan dan menyerahkan urusan tersebut sepenuhnya kepada pengurus jenazah.

"Sepatutnya kita, kalau suami, isteri, ayah atau mak mati, isteri, suami dan anak-anak sama-sama bantu 'mandi' dan membuat persiapan yang perlu untuk mengkafankan jenazah mereka.

" Untuk itu, kita mestilah ada ilmu tersebut, jadi masa inilah kita ambil peluang untuk belajar," jelasnya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kursus Pengurusan Jenazah di Masjid Kampung Pelandang di sini, semalam.

Turut hadir, Penghulu Mukim Abang, Abdul Ghaffar Abu Bakar.

Dalam ucapannya, Alias turut mengingatkan anggota masyarakat tentang kematian kerana ianya tidak semestinya disebabkan sakit tetapi ajal yang sudah tiba.

"Jadi kita mestilah sentiasa bersedia dengan amalan untuk bertemu dengan Allah disamping kita mengajak orang sekeliling kita melakukan kebaikan dan meninggalkan kemaksiatan.

" Jangan kita baru 'ajok' dia sekali ke masjid atau surau, dia tak pergi, kita dah bosan, berusahalah dengan berdoa dan sentiasa 'ajok', sehingga kita berjaya," ujarnya lagi kepada peserta yang hadir.

Tag: